MOHD Shaid Rosli (tengah) menyerahkan nasi beriyani kepada penduduk setempat di perkarangan Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MOHD Shaid Rosli (tengah) menyerahkan nasi beriyani kepada penduduk setempat di perkarangan Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram bakal mewujudkan 'kantin rakyat' secara pandu lalu bagi membantu meringankan beban dan kesukaran penduduk di DUN itu yang memerlukan ekoran pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Mohd Shaid Rosli berkata, kantin rakyat itu akan dibuka pada Februari ini di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam di sini.

"Untuk makluman, inisiatif ini adalah kerjasama di antara pihak kami dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Melalui inisiatif ini, kita akan memberikan makanan percuma dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Ia beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat.

"Semua makanan akan dimasak di dalam bangunan sebelum diedarkan kepada orang ramai secara pandu lalu.

"Malah kami mensasarkan sekurang-kurangnya 300 bungkus makanan akan diagih kepada penduduk setiap hari. Jumlah itu akan ditambah bergantung kepada permintaan atau hasil sumbangan orang ramai," katanya ditemui selepas majlis Kongsi Rezeki di PKM DUN Jeram di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shaid menyerahkan 500 bungkus nasi beriyani secara percuma kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini dalam perbincangan peringkat akhir bagi urusan sewaan bangunan berkenaan.

"Bangunan itu milik MAIS. Kita masih menunggu kebenaran untuk memulakan operasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 3:13 PM