Orang kurang upaya (OKU) penglihatan tahap dua, Muhammad Ibrahim Loh Abdullah, 39, menunjukkan kemahirannya mampu berdikari memasak pelbagai menu yang dikongsikan di laman sosial Facebook ketika ditemui di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Orang kurang upaya (OKU) penglihatan tahap dua, Muhammad Ibrahim Loh Abdullah, 39, menunjukkan kemahirannya mampu berdikari memasak pelbagai menu yang dikongsikan di laman sosial Facebook ketika ditemui di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Dilahirkan dengan kekurangan penglihatan bukan alasan untuk lelaki ini bergantung hidup atas ihsan orang lain.

Muhammad Ibrahim Loh Abdullah, 39, mampu menguruskan hidupnya tanpa bantuan sesiapa termasuk memasak setiap hari.

Menurutnya, kebolehan memasak walaupun dengan terhad penglihatan dimiliki sejak remaja ketika belajar di sekolah pendidikan khas.

"Ketika di sekolah, kami diajar subjek Kemahiran Hidup termasuk bagaimana untuk memasak dengan menggunakan deria sentuhan dan bau.

"Itu permulaan saya belajar memasak dan kini saya berjaya membuktikan saya mampu berdikari walaupun terhad penglihatan," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun berisiko terkena kuali panas mahupun percikan minyak namun dengan kemahiran yang dimiliki mampu mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, menu yang sering menjadi pilihan antaranya nasi goreng kampung, bihun sup, ayam masak merah selain pelbagai lauk pauk.

"Saya berkongsi kemahiran memasak di Facebook dan tidak sangka mendapat respon yang baik daripada warganet.

"Mereka memberikan kata sokongan selain ada yang kagum melihat saya mampu memasak walaupun tidak dapat melihat," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan tahap dua.

Muhammad Ibrahim yang juga bekas atlit para negara pernah mewakili negara dalam sukan olahraga di Sukan Asia, Sukan SEA dan pelbagai kejohanan lain di dalam negara dan antarabangsa.

"Disamping berkongsi kemahiran memasak, saya juga mahu memberi pendedahan kepada ibu bapa yang memiliki anak OKU agar mendedahkan mereka kemahiran asas kehidupan harian.

"Ada ibu bapa yang tidak benarkan anak OKU membuat kerja rumah namun pada jangka panjang ia akan mengehadkan kemahiran anak mereka berdikari," katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Beliau yang bekerja sebagai tukang urut kini menyara hidup dengan menjual minuman segera di Pasar Pagi Seksyen 6 setiap hari.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, pendapatannya sebagai tukang urut juga terjejas teruk dan perlu mencari alternatif lain menampung hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 3:58 PM