TIGA lelaki didakwa membunuh rakan mereka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TIGA lelaki didakwa membunuh rakan mereka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


Ayer Keroh: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakan mereka di Rumah Pangsa Batu Berendam, 5 Januari lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, SS Darsan, 41, A Sethu, 33, dan K Raja Segaran, 40, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian S Kumar, 41, di rumah beralamat di D-12-3 Rumah Pangsa Batu Berendam, Melaka Tengah, pada jam antara 5 hingga 7 petang, 5 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, Darsan dan Sethu yang bekerja sebagai tukang cuci manakala Raja Segaran. bekerja di bahagian pemprosesan ayam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang membolehkan mereka dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala Darsan diwakili Paul Krishnaraja.

Susulan itu, mahkamah menetapkan semula sebutan kes pada 11 Mac ini bagi serahan laporan kimia dan forensik.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki oleh orang awam dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang sebuah Proton Perdana di kawasan parkir kenderaan di Rumah Pangsa Batu Berendam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, motif pembunuhan disebabkan pergaduhan sesama rakan jenayah yang tidak puas hati dengan hasil samun bersenjata dilakukan mereka di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana, 4 Januari lalu.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 4:43 PM