Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 61,773 daripada 97,862 pekerja asing yang dikenal pasti menerusi Task Force Program Saringan Kesihatan Covid-19 (TF-PSKC-19) masih belum membuat saringan Covid-19 setakat 14 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata, dalam tempoh itu hanya 36,089 pekerja menjalani saringan terbabit.

Katanya, kerajaan memutuskan bahawa majikan yang menggajikan pekerja asing hendaklah memastikan supaya mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula dari 1 Disember tahun lalu sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan pandemik itu.

"Bagi memastikan majikan mematuhi arahan yang ditetapkan, Kementerian Sumber Manusia menubuhkan TF-PSKC-19 membabitkan tiga agensi dan jabatan iaitu JTKSM, Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"TF-PSKC-19 ini melaksanakan lawatan pengesanan terhadap majikan yang gagal memastikan pekerja asingnya menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19," katanya.

Menurutnya, mana-mana majikan yang masih belum menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing semasa pemeriksaan dijalankan, mereka akan diberikan Notis Saringan Covid-19 KSM bagi menjalani ujian itu.

PETUGAS kesihatan mengambil sample saringan COVID-19 orang ramai untuk diuji keputusan bagi membasmi penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
PETUGAS kesihatan mengambil sample saringan COVID-19 orang ramai untuk diuji keputusan bagi membasmi penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR

Katanya, berdasarkan kepada maklumat jumlah ujian saringan Covid-19 yang dilaporkan sehingga 15 Januari 2021, 153,585 pekerja yang menjalani saringan terbabit.

Kenyataan itu turut menyebut, 1,674 permohonan perakuan penginapan yang diterima bermula 1 September 2020 hingga 10 Januari 2021.

Ia merangkumi 1,549 permohonan majikan dan 125 permohonan penyedia penginapan berpusat dengan Selangor mencatatkan permohonan tertinggi sebanyak 3,321 permohonan.

"Manakala permohonan mengikut sektor tertinggi ialah sektor pembuatan iaitu sebanyak 1,123 permohonan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 5:54 PM