Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Impian kanak-kanak lelaki yang menghidap leukemia tahap empat untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) tercapai apabila direalisasikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.

Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan, 7, berkata dia menyuarakan hasrat berkenaan kepada ibunya, Nur Syazwani Mazlan, 30, sebelum ia disampaikan kepada seorang anggota IPD berkenaan.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi seorang anggota polis kerana mahu menjaga keamanan dengan menahan individu yang melanggar undang-undang negara.

"Saya seronok bila dapat naik kereta (MPV) polis sebab cita-cita saya nak jadi polis dan nak tangkap orang jahat," katanya selepas dibawa meronda dengan MPV polis di perkarangan IPD Seberang Perai Utara, di sini.

Sementara itu, Nur Syazwani berkata, anak sulung daripada empat beradik berkenaan terlalu meminati profesion kepolisian hingga terdapat banyak permainan polis di rumah mereka di Bakar Kapor, Penaga, di sini.

"Sebelum dia sakit banyak kali dia cakap bila besar dia nak jadi polis, sampaikan di rumah banyak sangat mainan polis.

"Dia kemudian suarakan untuk naik kereta polis dan saya cuba bertanya perkara ini kepada salah seorang anggota polis, tetapi tidak sangka impian anak saya menjadi kenyataan," katanya.

Katanya, ketika ini rawatan dan ubatan untuk Mohamad Ammar sudah dihentikan berikutan sel kanser mula merebak ke paru-paru hingga menyebabkan saluran pernafasan tersekat dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, walaupun sibuk dengan tugas harian ketika pandemik Covid-19, pihaknya berusaha merealisasikan impian Mohamad Ammar.

"Saya berbesar hati untuk penuhi hasrat Mohamad Ammar selepas ada anggota datang memberitahu impian seorang kanak-kanak yang sedang bertarung nyawa dengan penyakitnya.

"Pada masa sama, kami warga polis daerah ini mendoakan supaya Mohamad Ammar diberikan kesembuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:04 PM
Noorzainy Mohd Noor (dua dari kiri) meriba adik Mohamad Ammar. FOTO DANIAL SAAD
Noorzainy Mohd Noor (dua dari kiri) meriba adik Mohamad Ammar. FOTO DANIAL SAAD