GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah (KTE) Durian Daun di sini, diarah tutup serta-merta selama seminggu bermula hari ini selepas seorang guru lelakinya disahkan positif Covid-19.

EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, penutupan sehingga 28 Januari ini bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan di kolej berkenaan.

Beliau berkata, semua guru dan pelajar tingkatan enam kolej itu yang juga kontak rapat kepada guru berkenaan sudah diarah menjalani kuarantin di rumah masing-masing sehingga dihubungi Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.

"Kolej berkenaan akan disanitasi oleh pihak bomba dalam masa terdekat. Guru dan pelajar akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan kolej berkenaan," katanya dihubungi.

Beliau berkata, penutupan kolej berkenaan membabitkan dua kelas tingkatan enam.

"Kes ini terpencil dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tindakan segera sudah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:25 PM