GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program vaksinasi bagi mencegah pandemik Covid-19 yang dirancang kerajaan untuk orang ramai adalah penting bagi mewujudkan imuniti kelompok sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi, Pengkomersialan dan Perkhidmatan STI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata, apabila imuniti kelompok tercapai maka penularan Covid-19 akan dapat dikawal kerana majoriti penduduk sudah memiliki ketahanan terhadap virus itu.

"Apabila kita mempunyai ketahanan dalam kumpulan yang besar terhadap sesuatu virus, kita boleh hampir bergerak dan berhubung dalam keadaan normal.

"Jadi, peluang untuk kita membuka ekonomi itu lebih besar kerana setiap rakyat atau individu telah divaksinasikan," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bual Bicara terbitan Bernama TV malam tadi bertajuk 'Covid-19: Kepentingan Vaksin & Imunisasi.'

Imuniti kelompok merujuk kepada keadaan penularan jangkitan yang rendah kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti terhadap jangkitan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berkata, hampir RM27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Beliau berkata bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Februari ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinasi ini berjalan secara berperingkat selama 12 bulan.

Sementara itu, Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata, beliau optimis bahawa program vaksinasi Covid-19 akan mempercepatkan usaha merancakkan kembali ekonomi negara khususnya ekonomi domestik yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut

"Kalau dulu pada awal kemunculan wabak, kita hanya bergantung kepada pencegahan dengan cara penjarakan fizikal dan perintah kawalan pergerakan sahaja.

"Tetapi dengan adanya vaksin, ia seolah-olah satu cahaya yang selama ini ditunggu-tunggu kerana ia dapat menyelesaikan penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 11:22 AM