Foto hiasan
Foto hiasan
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Bimbang dikenakan tindakan mahkamah, seorang guru wanita di Raub menanggung kerugian RM27,550 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada Rabu lalu apabila mangsa yang berusia 57 tahun menerima panggilan daripada seorang individu mendakwanya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Lelaki itu mendakwa mangsa mempunyai akaun sebuah bank yang digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa terkejut kerana tidak mempunyai akaun di bank berkenaan. Suspek juga beritahu mungkin ada orang yang menggunakan maklumat mangsa untuk membuat akaun terbabit tanpa pengetahuan dan kehadirannya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudiannya menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu secara dalam talian sebelum meminta mangsa menyerahkan maklumat dua akaun banknya serta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepadanya.

"Mangsa semakin keliru tetapi terus sahaja menurut arahannya dan wanita itu kemudiannya membuat semakan di dua bank berkenaan pada semalam sebelum mendapati wang disimpannya sebanyak RM27,550 lesap apabila dipindahkan ke dalam akaun yang tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun mendapati talian sudah disekat, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita sedang mengesan nombor telefon digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 12:17 PM