KEADAAN kereta jenis Volvo yang rosak selepas merempuh sekumpulan lembu yang berada di tengah-tengah jalan di Kilometer 291.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). FOTO Ihsan POLIS
KEADAAN kereta jenis Volvo yang rosak selepas merempuh sekumpulan lembu yang berada di tengah-tengah jalan di Kilometer 291.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). FOTO Ihsan POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Dua pemandu kereta terselamat selepas kenderaan mereka melanggar sekumpulan lembu di Kilometer 291.1 Lebuhraya Pantai Timur 2, di sini, menyebabkan sembilan haiwan itu mati, malam semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8.30 malam ketika pemandu Proton Saga dan Volvo berusia 28 serta 46 tahun, masing-masing dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan mendapati pemandu wanita dan lelaki itu terserempak dengan sekumpulan lembu yang berada di tengah lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kedua-duanya gagal mengelak lalu melanggar kumpulan lembu itu kerana jarak yang terlalu dekat.

"Kejadian itu menyebabkan sembilan ekor lembu mati bergelimpangan sebelum bangkai haiwan terbabit dialihkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaan mereka rosak teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 2:34 PM