LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Mohd Faizal Wahid, 40, memuat naik hantaran di Facebook untuk menjual Proton Persona bagi menampung kos pembedahan barah payudara isterinya Khamis lalu, dan sejak itu, ramai tampil membantu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT mengabulkan doa dan diberikan rezeki dalam bentuk sumbangan RM5,000 daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Saya juga tidak menyangka kisah saya menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri," katanya dihubungi.

Zulkifli bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP Ahmad Shukri Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP Zabidi Nasan datang ke kediaman Mohd Faizal di Klang, Selangor semalam, untuk menyampaikan sumbangan itu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dengan sumbangan itu, jumlah dana yang diperlukan sudah mencukupi kerana turut mendapat sumbangan orang ramai selepas kisahnya tular.

"Hati saya tersentuh kerana menteri (Zulkifli) sanggup datang ke rumah dan mendoakan kesejahteraan isteri agar segera sembuh serta pembedahan berjalan lancar.

"Menteri juga berpesan supaya tidak menjual kereta ini kerana penting untuk kegunaan membawa isteri ke hospital, khasnya bagi rawatan susulan selepas pembedahan," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, ada dermawan dari Melaka sanggup membeli Proton Persona berkenaan pada harga RM10,000 namun mahu Mohd Faizal terus menggunakan kereta itu.

"Kata dermawan itu, dia ada banyak kereta dan berhasrat membeli Proton Persona ini dengan niat mahu membantu," katanya.

Menurut Mohd Faizal, dia terharu kerana di sebalik kebuntuan itu, ada banyak hikmahnya apabila ramai yang tampil mahu membantu.

Katanya, dia mengakui bakal berhadapan dengan masalah kewangan sekali lagi bagi rawatan susulan selepas pembedahan iaitu rawatan radioterapi yang dijangka menelan belanja RM24,000.

"Saya hanya bertawakal dan yakin akan ada rezeki lain kerana buat masa ini, mahu memberi tumpuan kepada pembedahan isteri," katanya.

Menurut Mohd Faizal, tindakannya memuat naik hantaran itu turut mendapat kecaman netizen yang mempertikaikannya menghantar isteri menjalani rawatan di hospital swasta tetapi tiada kemampuan kewangan.

"Kecaman ini turut memberi kesan kepada emosi isteri. Saya tidak berkecil hati dan perlu kuat. Saya mahu berusaha membantu isteri.

"Orang tidak faham kesusahan kami malah saya pernah menggadai barangan kemas dan berhutang untuk rawatan isteri sebelum ini," katanya.

Berita berkaitan

  • 'Faizal, jangan jual Proton Persona itu' - Dr Zulkifli
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 3:20 PM