Sebahagian rokok tanpa cukai yang diseludup bernilai lebih RM1 juta, dirampas menerusi serbuan di lima lokasi berasingan, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Sebahagian rokok tanpa cukai yang diseludup bernilai lebih RM1 juta, dirampas menerusi serbuan di lima lokasi berasingan, di sini. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas menahan tiga lelaki dan merampas rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar pusat bandar, di sini, semalam.

Operasi pada 3 petang itu membabitkan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 40 tahun dengan rampasan kira-kira 142 kotak rokok tanpa cukai.

Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar mengesahkan laporan itu dan berkata, siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan rokok yang diperoleh.

Katanya, saki-baki sindiket yang beroperasi di Pulau Pinang juga masih dikesan.

"Serbuan dilakukan hasil risikan polis dan maklumat daripada orang awam.

"Kita percaya rokok itu dipasarkan kepada pelanggan di sekitar utara, termasuk Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, turut dirampas wang tunai bernilai RM983,000 bersama beberapa kenderaan seperti kereta, van dan lori dengan nilai RM240,000 dalam operasi berkenaan.

Katanya, turut dirampas adalah hidupan liar yang dilindungi iaitu memerang dan burung di sebuah kediaman seorang daripada suspek itu.

"Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 5:41 PM