Wan Ahmad Arshad menunjukkan kamus Melayu berusia ratusan tahun yang berada dalam simpanannya. FOTO Mohd Amin Jalil
Wan Ahmad Arshad menunjukkan kamus Melayu berusia ratusan tahun yang berada dalam simpanannya. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya berharap ada pihak berkaitan sudah mendigitalkan koleksi naskah dan buku milik saya yang berusia hampir 400 tahun," ujar pengkaji sejarah tempatan dan pemburu barangan antik, Wan Ahmad Arshad, 55.

Dia memberitahu memiliki lebih 1,200 naskhah dan koleksi buku antikuarian yang diterbitkan antara abad ke-17 hingga awal abad ke-20.

Selaku pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM), beliau turut mendakwa memiliki ribuan koleksi peta, dokumen, akhbar lama, piring hitam, setem dan filateli serta koleksi manuskrip dan artifak tamadun Melayu Islam berusia ratusan tahun.

"Saya juga ada memiliki kamus Melayu lengkap yang diyakini sebagai tertua di dunia kerana dikeluar dan diterbitkan pada 1631 iaitu lebih 387 tahun lalu.

"Kamus Malay-Latin itu mengandungi 10,000 perkataan bahasa Melayu lama disusun Sarjana Inggeris Davidis Heax dan diterbitkan pada 1631 di Rome, Itali. Naskhah ini dikenal pasti adalah kamus bahasa Melayu tertua setakat ini.

"Kesemua barangan antik dan naskhah ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan saya bimbang ia akan hilang begitu sahaja serta tidak dapat dimanfaatkan generasi akan datang tanpa usaha mendigitalkannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tasik Jaya Senawang, di sini, tadi.

Wan Ahmad berkata, dia menjelajah ke setiap pelusuk negara dan luar negara untuk mendapatkan pelbagai koleksi bahan sejarah berikutan ia mempunyai kaitan dengan ketamadunan bangsa Melayu dan asal usul kehidupan rakyat negara ini.

Menurutnya, koleksi berkenaan termasuk manuskrip bertulisan tangan dan kitab lama amat penting untuk diketahui generasi akan datang sebagai suatu daripada nilai sejarah dan asal usul tamadun bangsa yang pernah dicipta suatu ketika dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:00 PM