PELAJAR  Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terletak di Odeyale, Nigeria, Afrika bersemangat meneruskan pengajian Islam walaupun dalam keadaan serba daif.
PELAJAR Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terletak di Odeyale, Nigeria, Afrika bersemangat meneruskan pengajian Islam walaupun dalam keadaan serba daif.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: "Penuntut Islam ini boleh menjadi murtad jika tidak diberikan bantuan pendidikan sewajarnya," ujar Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berhubung nasib ratusan pelajar Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terletak di Odeyale, Nigeria, Afrika.

Menurutnya, madrasah itu adalah satu-satunya pusat pendidikan Islam yang 'terkepung' dengan pelbagai rumah ibadat agama lain.

"Terdapat sekolah penganut agama lain yang lebih sempurna terletak berhampiran kawasan itu. Ini menjadi ancaman terbesar dalam mempertahankan aqidah masyarakat Muslim Odeyale terutamanya anak-anak mereka.

"Lebih menyedihkan apabila ada penduduk yang terhutang budi atau atas dasar perkahwinan memilih untuk keluar daripada Islam. Akibatnya anak-anak mereka juga terpaksa dihantar belajar ke sekolah mubaligh bukan Islam," katanya.

Menurutnya, kekurangan dana kewangan untuk pendidikan Islam selain faktor ekonomi menyebabkan kanak-kanak ini mudah menjadi murtad.

"Berdasarkan maklumat, program tahfiz, madrasah dan akademik disediakan di Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies terbukti cukup sempurna berikutan permohonan kemasukan yang sentiasa meningkat.

"Bagaimanapun usaha itu berdepan cabaran susulan kekurangan ruang dan kemudahan serba daif.

"Melalui maklumat disalurkan koordinator Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies, ustaz Ibraheem Aminulahi, pusat pendidikan Islam itu memerlukan bantuan dana untuk membesarkan ruang kelas untuk pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, Muslim Care Malaysia mengambil tanggungjawab untuk melengkapkan pembinaan Madrasah Daarul-Itqanil Quran, Nigeria dengan kos RM700,000.

"Moga sumbangan berwakaf untuk membina tambahan Madrasah Daaru Itqanil Qur'an & Islamic Studies ini dapat menjadi bekalan kita di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu Ibraheem berkata, pusat madrasah itu menawarkan program pengajian tahfiz bagi tempoh dua tahun selain turut menyediakan kemudahan asrama untuk penuntutnya.

"Selain itu madrasah ini dibuka khusus untuk pelajar mempelajari ilmu fekah, hadis, Al-Quran, bahasa arab dan pelbagai mata pelajaran lain.

"Hasil bantuan dana awal disumbangkan Muslim Care Malaysia baru-baru ini, madrasah berkenaan dapat dibaik pulih untuk menampung kapasiti 150 pelajar.

"Bagaimanapun permintaan untuk kemasukan pelajar baru adalah tiga kali ganda. Oleh itu kami bercadang untuk membina bangunan tiga tingkat bagi menampung kemasukan lebih ramai pelajar," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Orang ramai bersimpati untuk membantu pelajar Islam Nigeria ini boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau Bank CIMB (8604171675 -Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia)

Mereka juga boleh juga menghubungi taalian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 ( Ahmad Safwan ) atau 0192049434 ( Zuriati Ya'akob ) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:54 PM