PELAJAR Tingkatan Lima patuh SOP ketika hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PELAJAR Tingkatan Lima patuh SOP ketika hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan akan memantau pelajar sekolah melalui khidmat Unit Peronda Kereta (MPV) atau Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diikuti walaupun selepas tamat waktu sekolah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya juga akan menggunakan khidmat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh negeri untuk bekerjasama dengan pihak sekolah mengenai perkara berkenaan.

Katanya, pematuhan SOP ketika di dalam sekolah sudah memuaskan namun apa yang dibimbangkan ialah suasana selepas tamat waktu sekolah apabila dikhuatiri golongan pelajar membuka pelitup muka atau berkumpul sesama mereka.

"Jadi, dengan adanya kehadiran polis di sekitar sekolah dapat memberi peringatan kepada mereka untuk patuh SOP, dan anggota bertugas akan memantau 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu persekolahan sehingga keadaan dilihat lengang.

"Memandangkan di Kelantan terdapat sehingga 175 buah sekolah menengah dan pihak polis menghadapi kekangan, jadi pelaksanaan tugasan khidmat MPV atau URB perlu diatur secara baik supaya setiap sekolah dapat dikawal.

"Kita juga sudah sedia maklum, bahawa pihak sekolah hanya boleh menegur pelajar ketika waktu persekolahan sahaja, jadi selepas waktu sekolah biar polis yang bantu," katanya selepas menghadiri sebuah program dan meninjau pematuhan SOP diSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Shafien turut berpuas hati dengan pentadbiran di sekolah terbabit yang mengaturkan beberapa kaedah untuk pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak-anak selain mewujudkan susunan parkir motosikal yang baik sekali gus mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Malah, pihak sekolah turut menitik beratkan disiplin pelajar dalam norma baharu bagi memastikan mereka membuat pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka serta mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera.

"Saya berharap setiap sekolah di negeri ini dapat mengikut jejak langkah terbabit supaya dapat sama-sama mengekang penularan wabak sekali gus memastikan proses pembelajaran di sekolah berjalan lancar.

"Pihak polis tidak mengenakan kompaun sewenang-wenangnya terutama kepada pelajar, namun berharap dengan kehadiran anggota setiap kali selepas waktu sekolah boleh mengingatkan mereka untuk terus patuh SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 11:55 AM