PPM Wilayah Dua Johor menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM 80,000 dalam serbuan Op Benteng-COVID Landai di Taman Skudai Indah 2. FOTO IHSAN PPM
PPM Wilayah Dua Johor menunjukkan hasil rampasan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM 80,000 dalam serbuan Op Benteng-COVID Landai di Taman Skudai Indah 2. FOTO IHSAN PPM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pelbagai jenis mercun dan bunga api dirampas bernilai RM80,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dalam serbuan Op Benteng-Covid Landai di Taman Skudai Indah 2 di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu susulan maklumat dan risikan yang dilakukan berhubung kegiatan menyimpan barang larangan itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah lori di lokasi serbuan menemukan sejumlah 43 kotak berisi pelbagai jenis mercun.

"Berpandukan maklumat suspek lelaki berusia 51 tahun yang ditahan ketika serbuan, membawa kepada penemuan 17 kotak lagi berisi mercun yang disimpan di dalam garaj rumah.

"Nilai rampasan mercun dan bunga api dianggarkan RM80,000. Turut dirampas sebuah lori menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM160,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Zailani berkata, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1959 yang sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, polis terutamanya PPM akan sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang terutamanya menjelang musim perayaan.

"PPM Wilayah Dua menyeru masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutamanya membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim," katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221.

#kw mercun, rampas, lori, PPM, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 1:29 PM