ZAIRIL Khir Johari mengadakan tinjauan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu liputan internet di Pulau Aman. FOTO Ihsan Pembaca
ZAIRIL Khir Johari mengadakan tinjauan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu liputan internet di Pulau Aman. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang berusaha menyelesaikan kesulitan dihadapi penduduk Pulau Aman, Batu Kawan berhubung masalah capaian internet terhad sehingga memberi kesukaran terhadap pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, beliau sudah melakukan tinjauan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di kawasan itu, semalam.

"Antara cadangan jangka pendek ialah pengoptimuman infrastruktur telekomunikasi sedia ada di kawasan terbabit serta pemasangan peranti seperti 'repeater' yang dapat meluaskan kawasan liputan.

"Bagi penyelesaian jangka panjang, SKMM akan mempertimbangkan pemasangan infrastruktur telekomunikasi baharu di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil perlu dibincangkan dengan lebih teliti bersama syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan internet di kawasan terbabit.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan sebahagian pelajar di pulau terbabit terpaksa merayau-rayau bagi mencari liputan internet untuk mengikuti PdPR.

Ada di antara mereka juga menggunakan lebih daripada satu telefon pintar supaya tidak ketinggalan menyertai sesi berkenaan sejak sesi persekolahan bermula.

Ia berikutan masalah capaian internet yang tidak kuat dan kerap terputus hingga memberi kesukaran kepada pelajar di pulau itu untuk belajar secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 2:45 PM