ANGGOTA penguatkuasa MPM ketika melakukan siasatan dan pemantauan SOP Peraturan Operasi Perniagaan Dalam Tempoh PKP di Muar. FOTO IHSAN MPM
ANGGOTA penguatkuasa MPM ketika melakukan siasatan dan pemantauan SOP Peraturan Operasi Perniagaan Dalam Tempoh PKP di Muar. FOTO IHSAN MPM
Essa Abu Yamin


Muar: Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) bernasib baik kerana sempat mengelak air panas bercampur minyak dari kuali yang disimbah pemilik kedai makan di Jalan Omar, Parit Jawa di sini, kelmarin.

Kejadian 9.30 malam itu berlaku ketika beberapa anggota penguat kuasa MPM melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) peraturan operasi perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di premis berkenaan.

Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, pemilik kedai makan berkenaan didapati melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, ketika anggota penguat kuasa berada dibahagian dapur untuk meminta butiran pemilik premis, lelaki berusia 40-an itu tiba-tiba berang dan menyimbah air panas bercampur minyak dari kuali ke arah anggota terbabit tetapi dapat dielak.

"Tindakan lelaki itu tidak berakhir di situ apabila dia mengekori kenderaan peronda penguat kuasa MPM hingga ke sebuah stesen minyak.

"Lelaki berkenaan yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar kemudian menghamburkan kata-kata kesat dengan menyifatkan anggota penguat kuasa terbabit seperti binatang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustaffa Kamal berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh anggota penguat kuasa terbabit kerana menghalang tugas penjawat awam serta cubaan mendatangkan kecederaan.

"Pemilik turut dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP mengikut Seksyen 72(1)(F) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit dengan membenarkan pelanggan makan di dalam premis ketika PKP berkuat kuasa," katanya.

Katanya, orang awam atau peniaga dinasihatkan tidak membuat sebarang tindakan agresif ke atas penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

"Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Pihak MPM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 3:33 PM