Keadaan kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Batu 6 Lekir, Sitiawan selepas dirempuh van semalam. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Batu 6 Lekir, Sitiawan selepas dirempuh van semalam. Foto Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Tertekan tekan pedal minyak menyebabkan van dipandu seorang remaja merempuh dinding cermin kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Batu 6 Lekir di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun terbabit baru selesai mengisi minyak sebelum kejadian itu berlaku pada 7.30 malam.

"Remaja lelaki itu dipercayai menghidupkan enjin vannya sebelum tertekan pedal minyak dan gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar dinding premis berkenaan.

"Ketika kejadian ada beberapa pelanggan dan pekerja dalam premis berkenaan, namun mereka tidak cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, kejadian itu menyebabkan binaan dan cermin dinding di kedai pecah serta rosak.

Katanya, semakan juga mendapati remaja lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan saman atas kesalahan itu.

"Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atasnya mendapati remaja itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:16 PM