GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Pasar Borong Pandan, Kangkar Tebrau di sini ditutup tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan selepas terdapat kes positif Covid-19 di pasar berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu ketika dihubungi Bernama mengesahkan penutupan berkenaan dan memaklumkan bahawa notis perintah tutup premis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi.

Beliau berkata, pasar terbabit akan beroperasi semula selepas kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan mengikut tarikh ditetapkan.

"Apabila sempurna kerja-kerja sanitasi disahkan oleh KKM, pasar berkenaan sudah boleh dibuka," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru Tai Wah Sun berkata pemilik, peniaga ikan dan sayuran termasuk pekerja dan pemandu lori di Pasar Borong Pandan sudah mengambil inisiatif menjalani ujian saringan kesihatan dan kuarantin kendiri di rumah selepas mengetahui terdapat kes positif di situ.

Katanya, meskipun notis penutupan pasar itu dikeluarkan pagi tadi namun kebanyakan warga pasar terbabit sudah menjalani ujian saringan beberapa hari sebelumnya sebagai tindakan awal pencegahan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:21 PM