GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Warga kerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap komited menjalankan tugas bagi melandaikan rantaian wabak Covid-19 walaupun sudah setahun ia menular di negara ini.

Menurut satu hantaran KKM dalam akaun Facebook, kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertinggi dan barisan hadapan kementerian yang kini sedang berjuang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan klinik di seluruh negara.

Katanya, selain itu mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan turut diadakan secara virtual bersama Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

"Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani Covid-19 dan memperkukuhkan 213 Covid-19 CAC di seluruh negara.

"Doakan supaya semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh tidak nampak ini.

"Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus Covid-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini," katanya.

Menerusi status sama, KKM turut mengimbas kembali setahun penularan wabak berkenaan di Malaysia serta pencapaian KKM menanganinya.

"Hari ini genap setahun, warga barisan hadapan KKM berdepan dengan kes Covid-19 di negara ini apabila kes pertama yang membabitkan tiga warga China dikesan masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

"Mereka adalah tiga kes pertama positif Covid-19 di Malaysia membabitkan ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China.

"Mereka direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura dan kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh," katanya.

Selepas beberapa siri rawatan, pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020.

Selain itu, beberapa anugerah lain diterima KKM dalam menguruskan Covid-19, sekali gus memberi petanda KKM berada di landasan tepat dalam melawan wabak ini dan berjaya menangani gelombang pertama dan kedua virus itu pada tahun lalu.

Bagaimanapun, KKM berkata, kini semua rakyat Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19 sejak penghujung September, tahun lalu.

"Sehingga hari ini, seluruh warga KKM masih lagi komited, kerja tanpa putus asa dalam menghadapi virus Covid-19 ini.

"Hari ini kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 individu sudah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) kes sembuh direkodkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 11:29 AM