SUSPEK (tengah) ditahan ketika membawa pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup. FOTO MELVIN JONI
SUSPEK (tengah) ditahan ketika membawa pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Miri: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai RM142,440 yang cuba diseludup di sini, malam tadi.

Komander PPM W5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, rampasan dibuat dalam Op Landai yang dijalankan pada 7.30 malam di Jalan Kiambang, Tudan.

"Sepasukan anggota PPM W5 Miri menunggu dan membuat pemerhatian lebih kurang dua jam di kawasan Permyjaya sebelum mengekori sebuah lori.

"Setelah sampai di satu simpang di Jalan Kiambang, Tudan, pasukan operasi menahan lori terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa muatan minuman keras pelbagai jenis dan rokok pelbagai jenama.

"Pemandu gagal untuk mengemukakan sebarang surat atau dokumen sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, barang yang dibawa disyaki tanpa cukai Kastam dan menjadi kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, pasukan operasi turut menahan pemandu lori terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun.

Katanya, semua barang kes bersama suspek diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 12:34 PM