Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memukul dan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Razali Daud, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan membelah kepala wanita itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Razali didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurhaslinda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian pada 11.30 pagi, 16 Januari lalu.

Terdahulu, Shahril mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Ahmad Adha dalam rayuannya kemudiannya memohon ikat jamin rendah dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh mempunyai lima anak serta menanggung ibunya yang sakit.

Mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 12:44 PM
Razali diiringi anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Razali diiringi anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar