GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki, akhir tahun lalu.

Konstabel Haikal Fikri Anuar, 27, dua penganggur iaitu Razif Razali, 29 dan Muhammad Syukurilah Roszailah, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim V Mabel Sheela selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka didakwa bersama-sama seorang wanita berumur 19 tahun melakukan perbuatan itu di kawasan Medini Iskandar, Iskandar Puteri, dekat sini, pada 1.20 pagi, 25 Dis lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan gagal hadir ke mahkamah, hari ini.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman memohon ketiga-tiga tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 setiap seorang.

Peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria yang mewakili Haikal Fikri memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan dia mempunyai seorang isteri dan anak berumur setahun tujuh bulan manakala Razif dan Muhammad Syukurilah yang tidak diwakili peguam, memberi alasan mereka tidak bekerja.

Hakim mengenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin, perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dalam kes itu.

Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita berkenaan dan menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 1:08 PM