PANTAI Teluk Akuan. FOTO ihsan kuasa
PANTAI Teluk Akuan. FOTO ihsan kuasa
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati mengakibatkan pantai Teluk Akuan, Segari, di sini, terjejas.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebarang tindakan akan diambil selepas penilaian dan perbincangan dibuat jabatan berkaitan.

"Saya sudah minta laporan daripada jabatan-jabatan berkenaan," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, pemeriksaan awal mendapati pihak yang melakukan aktiviti kuari di kawasan berhampiran pantai berkenaan bukan syarikat sama di kawasan alur air bermusim yang terjejas seperti dilaporkan, sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, pihak berkenaan didapati mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA) pada 1995.

"Siasatan bersepadu dijalankan hari ini membabitkan JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pegawai dari pejabat Exco kerajaan negeri.

"Setakat ini mereka masih berada di lapangan dan hasil siasatan juga belum diterima (untuk mengatakan sama ada pihak berkenaan mematuhi atau tidak EIA)," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin mengesahkan sepasukan pegawai agensi berkaitan menjalankan siasatan di lokasi, hari ini.

Portal Harian Metro, semalam melaporkan lokasi pendaratan penyu bertelur di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang turut didakwa terjejas dipercayai susulan aktiviti kuari.

Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan dipetik berkata, anak sungai di selatan Teluk Akuan berubah berwarna dipercayai kesan daripada aktiviti manusia di kompartmen 22 hutan simpan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 5:28 PM