GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan bermula esok hingga 8 Februari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 di dua lokasi terbabit berdasarkan laporan terkini KKM.

"Sehingga 23 Januari, sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan yang membabitkan 40 tahanan dan tiga kakitangan penjara.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan.

"Pelaksanaan PKPD ini bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terbabit serta memastikan tiada jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara berkenaan sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD," katanya/

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:14 PM