Antara mangsa banjir di Pahang. FOTO Mustaffa Kamal
Antara mangsa banjir di Pahang. FOTO Mustaffa Kamal
BERNAMA

Putrajaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan berjumlah RM5 juta bagi membantu mangsa banjir di Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini, berkata setiap negeri berkenaan akan menerima bantuan sebanyak RM1.25 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM250,000 akan digunakan untuk membiayai kelengkapan masjid dan surau yang terjejas akibat banjir disalurkan kepada Majlis Agama Islam negeri terbabit.

Katanya, baki RM1 juta pula akan digunakan untuk barangan keperluan mangsa banjir seperti toto, dapur memasak, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi, telekung dan sebagainya.

"Bantuan ini akan disampaikan oleh pihak yang dilantik MAIWP kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkenaan pada tarikh dan lokasi yang akan ditentukan," katanya.

Zulkifli berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana dengan pembayaran zakat tersebut MAIWP berjaya melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.

"Anda adalah hero asnaf sebenar. Saya akan pastikan bantuan ini diagihkan seadilnya agar ia dapat meringankan beban mangsa banjir di empat negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:16 PM