LEMBU yang cuba diseludup dari Thailand berjaya dirampas anggota PGA9 dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA9
LEMBU yang cuba diseludup dari Thailand berjaya dirampas anggota PGA9 dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sekumpulan lelaki dilihat berkumpul dalam keadaan mencurigakan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini, tengah malam tadi.

Namun apabila didekati anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), mereka bertindak melarikan diri dan meninggalkan lori jenis Isuzu berwarna putih.

Hasil siasatan membawa kepada penemuan tujuh lembu di dalam lori itu dan lokasi itu dipercayai menjadi lokasi transit penyeludupan kesemua haiwan bernilai RM70,000 itu.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi, anggota bertugas membuat rondaan dan pemantauan sebelum menemui sekumpulan lelaki berdekatan lori jenis Isuzu berwarna putih itu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri kumpulan lelaki itu, namun mereka bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan meninggalkan lori terbabit.

"Anggota membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan mendapati terdapat tujuh lembu dipercayai dibawa masuk secara seludup melalui negara jiran, Thailand, untuk tujuan pasaran tempatan dan seluruh negara bergantung kepada permintaan.

"Kami ada menerima maklumat bahawa ladang kelapa sawit itu menjadi tempat transit dalam kalangan penyeludup kerana lokasinya agak tersorok dan mudah mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kesemua lembu terbabit termasuk lori dirampas dan dibawa ke Balai Polis Lubok Stol untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum ternakan ini diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Sementara itu, Nor Azizan berkata, pada hari yang sama, jam 6.40 petang, anggotanya turut merampas pelbagai jenis barangan runcit seludup seperti beras dan tepung bernilai hampir RM50,000 yang dibawa menaiki lori berdekatan Masjid Beijing, di sini.

"Anggota turut menangkap pemandu lori yang juga seorang lelaki berusia 57 tahun dan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut .

"Hasil siasatan barangan seludup ini untuk menampung keperluan pasaran tempatan selain dijual sekitar pasar-pasar utama di Kota Bharu, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:57 PM