GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM2,000 pada 2019.

Menurut sumber, suspek berusia 58 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 1.15 petang tadi di Pejabat SPRM Sarawak ketika dia memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Suspek dipercayai menerima suapan daripada sebuah syarikat bagi tujuan pembayaran penyewaan gerai untuk program keusahawanan pada 2019.

Menurutnya, wang sebanyak RM2,000 itu sepatutnya dibayar secara terus ke akaun syarikat kerajaan negeri itu atau kelab syarikat.

Bagaimanapun, transaksi dilakukan melalui perbankan atas talian ke dalam akaun peribadi milik suspek.

Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 8:05 PM