Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Vaksin Covid-19 dibangunkan Pfizer-BioNTech tiada kesan sampingan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dilakukan terhadap United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang berjaya menggunakan vaksin berkenaan mendapati tiada kesan sampingan dalam kalangan penerima.

"Saya ada bertanya ramai rakan perubatan di UK dan AS yang menerima vaksin itu mengenai kesan sampingan, setakat ini Alhamdulillah tiada kesan sampingan.

"Jika ada pun kesan sampingan lain atau meninggal dunia, ia bukan berkaitan vaksin tetapi kebetulan disebabkan penyakit lain.

"Bagaimanapun, kita akan pantau dan menjalankan penilaian keberkesanan vaksin itu untuk masa terdekat dan tempoh jangka panjang," katanya pada sesi taklimat media darurat Covid-19 menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Namun Dr Noor Hisham tidak menolak kemungkinan terdapat kesan seperti demam ringan atau kemerahan tetapi ia adalah tindak balas sementara tubuh terhadap vaksin, bukan kesan sampingan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai masa antara tiga hingga empat bulan melihat keberkesanan vaksin itu sebelum ia digunakan di Malaysia.

Katanya, vaksin terbabit dijangka diterima pada Februari ini dan akan dibahagikan kepada tiga fasa penerima.

"Buat permulaan, 500,000 vaksin akan diberikan kepada kumpulan frontliner (barisan hadapan), fasa kedua golongan rentan dan fasa ketiga kepada kira-kira 17 juta rakyat Malaysia.

"Inilah perancangan kita dan dijangka selesai vaksin diberikan kepada semua rakyat Malaysia pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai ujian klinikal di Kanada menunjukkan ubat anti-radang, colchicine yang biasa digunakan bagi rawatan gout boleh mengurangkan risiko komplikasi dan kematian akibat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, ia memerlukan kajian menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 8:09 PM