Orang awam mengimbas kod QR MySejahtera. FOTO BERNAMA
Orang awam mengimbas kod QR MySejahtera. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kemas kini penjejak kawasan panas kes Covid-19 yang dipaparkan dalam MySejahtera bukan untuk mewujudkan panik dalam kalangan masyarakat sebaliknya bertujuan memberi kesedaran.

Ketua Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, Dr A Maheshwaran Roa berkata, fungsi yang terdapat dalam aplikasi berkenaan termasuk penjejak kawasan panas itu adalah penambahbaikan untuk membantu membendung Covid-19.

"Ia adalah penambahbaikan kita bukan hendak menimbulkan rasa takut dan panik. Tujuan kita meletakkan bilangan kes itu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya lebih berwaspada," katanya pada sesi taklimat media berkenaan darurat Covid-19 secara maya hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aplikasi MySejahtera akan ditambahbaik kepada versi 1.26 termasuk penambahan maklumat mengenai vaksinasi.

"Rakyat Malaysia yang belum memuat turun aplikasi ini sila muat turun manakala bagi mereka yang sudah muat turun, sila teroka dengan sebaik mungkin kerana banyak perincian berguna.

"Kita juga nasihatkan orang ramai supaya mengemas kini maklumat diri serta aktifkan 'push notification' supaya dapat mengetahui maklumat dan hebahan terkini," katanya.

Katanya, sehingga kini aplikasi itu sudah dimuat turun oleh 27,313,193 pengguna termasuk tanggungan dengan 1.5 juta premis perniagaan berdaftar.

"Setiap hari dianggarkan 15 juta orang 'check in' menggunakan aplikasi ini selain berjaya mengesan 53,299 kontak kes Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 9:15 PM