X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Hospital Lahad Datu merekodkan kadar penggunaan katil tertinggi bagi pesakit Covid-19 di Sabah dengan 91.4 peratus membabitkan seramai 128 pesakit yang masih dirawat di hospital itu, setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia diikuti Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu dengan kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 sebanyak 80.2 peratus.

Bagaimanapun katanya, HQE merekodkan jumlah pesakit Covid-19 masih dirawat yang tertinggi di Sabah setakat ini dengan seramai 393 orang dilaporkan berada di wad hospital itu.

"Setakat 25 Januari, hospital Covid-19 yang mempunyai bilangan pesakit paling ramai ialah di HQE dengan 393 orang atau 80.2 peratus daripada kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 di hospital itu.

"Hospital Lahad Datu pula ada 128 orang pesakit Covid-19 yang masih dirawat dengan kadar penggunaan katil setakat sebanyak 91.4 peratus," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, Hospital Keningau yang setakat hari ini masih merawat seramai 36 pesakit Covid-19 turut mencatat kadar penggunaan katil yang tinggi iaitu 80 peratus.

Bagi hospital lain, katanya sembilan pesakit Covid-19 masih dirawat di Hospital Kota Marudu, mewakili 75 peratus penggunaan katil, manakala 87 pesakit dengan 68 peratus penggunaan katil di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Di Hospital Tawau pula, seramai 151 pesakit Covid-19 masih dirawat dengan 62.1 peratus penggunaan katil, diikuti 58.3 peratus penggunaan katil membabitkan 84 pesakit di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas di Kota Kinabalu," katanya.

Katanya, Hospital Semporna pula masih merawat 30 pesakit Covid-19 dengan 39.5 peratus penggunaan katil, manakala Hospital Kudat yang setakat ini masih merawat tujuh pesakit merekodkan penggunaan katil terendah iaitu 24.1 peratus.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan seramai 348 kes baharu positif Covid-19 dengan tiga kematian semalam, masing-masing dua di Sandakan dan satu di Beaufort, menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 47,139 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 8:52 AM