GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 12,994 peserta skim ladang kelapa sawit Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) menerima bayaran lebihan bersih (NPP) bagi tahun 2020 berjumlah RM33.7 juta.

Jurucakap SALCRA dalam kenyataannya hari ini berkata, pembayaran akan dibuat dua kali dengan bayaran pertama berjumlah RM16.8 juta akan dikreditkan pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, baki separuh lagi pembayaran itu akan dikreditkan kepada peserta yang layak pada Julai depan.

"NPP bagi tahun 2020 dipengaruhi oleh harga pasaran minyak sawit, pandemik Covid-19, bilangan tenaga kerja dan faktor cuaca.

"Harga pasaran minyak sawit pada 2020 agak rendah pada pertengahan pertama dan hanya menjangkau paras RM3,000 satu tan pada September," katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 menggugat operasi ladang kerana kemasukan penuai yang majoritinya dari negara jiran disekat.

Selain itu, katanya, tahun lalu juga mengalami taburan hujan yang tinggi jika dibanding dengan tahun sebelumnya.

"Faktor itu mempengaruhi prestasi penghasilan atau pengeluaran buah tandan segar (BTS).

"Kawasan ladang yang matang juga berkurangan iaitu hanya 28,690 hektar disebabkan oleh penanaman semula dan dari jumlah kawasan matang itu, 5,205 hektar adalah kawasan matang muda manakala 9,639 hektar matang tua," katanya.

Menurutnya, SALCRA yakin produktiviti ladangnya akan meningkat tahun ini.

"Kita juga berharap agar harga pasaran minyak sawit kekal tinggi dan pandemik Covid-19 dapat diurus supaya operasi ladang berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 2:15 PM