Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang permit import (AP) daging terdiri daripada syarikat dimiliki oleh golongan Bumiputera.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengulas dakwaan pengimport Bumiputera dinafikan hak dan industri ini dimonopoli bukan Bumiputera.

"Saya tidak tahu (mengenai dakwaan itu) tetapi dalam rekod di kementerian, lebih 60 peratu pengimport - pengimport diberi kebenaran setakat ini adalah dalam kalangan Bumiputera.

"Tetapi dari segi jumlah itu, kita tidak dapat tentukan sebab itu urusan 'business to business'.. Contohnya berapa banyak boleh import bergantung kepada kapasiti, seperti Ramly Burger, Darabif Meat Company ia adalah pengimport Bumiputera yang ke hadapan dari segi kuantiti dan mampu bersaing dengan bukan Bumiputera.

"Jadi, MAFI akan keluarkan kuota import, MAFI keluarkan kuota import berdasarkan kepada kapasiti perniagaan seseorang pengimport," katanya dalam sidang media ketika melawat Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di sini, tadi.

Lawatan itu bertujuan melihat sendiri operasi pusat itu yang berperanan membantu memasarkan hasil-hasil pertanian ahli terbabit.

 Dr Ronald Kiandee (tengah) meninjau kawasan usahawan penanaman cili besar melalui kaedah fertigasi ketika lawatan kerja di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. FOTO FAIZ ANUAR
Dr Ronald Kiandee (tengah) meninjau kawasan usahawan penanaman cili besar melalui kaedah fertigasi ketika lawatan kerja di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. FOTO FAIZ ANUAR

Dalam pada itu katanya, sehingga kini belum ada mana-mana syarikat disenarai hitam namun terdapat beberapa syarikat kini dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

"Kita hanya bertindak ke atas pemegang AP yang melanggar syarat. Selagi tidak bukti pembahagian AP langgar syarat permit import diberikan kepada mereka, soal untuk senarai hitam tidak berbangkit.

"Kita lihat dan tunggu siasatan yang dibuat agensi penyiasat lain dan jika ada pembabitan dari segi pelanggaran syarat yang ditetapkan oleh kementerian, sudah tentu tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

"Belum ada disenarai hitam tetapi sedang disiasat. Setakat ini dr segi pengimportan halal, haram dan pematuhan syarat-syarat, ia sedang dipantau. Ia dipatuhi oleh pemegang AP. Ada isu lain seperti kastam, perlabelan, itu adalah penyiasatan oleh agensi penyiasat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 4:45 PM