Jalul Wahab (kiri) bersama Naim Hashim ketika kali akhir mengali kubur bersama di Kampung Bertam Ulu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Jalul Wahab (kiri) bersama Naim Hashim ketika kali akhir mengali kubur bersama di Kampung Bertam Ulu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Selepas disahkan menghidap kanser paru-paru, saya terpaksa berhenti menjadi pengali kubur selepas melakukan tugas ini sejak 13 tahun lalu," ujar Jalul Wahab, 62.

Walaupun mengakui amat terkilan kerana meninggalkan kerjaya utamanya itu, namun dia akur dengan ketentuan Tuhan bagi membolehkan kini berehat di rumah di Kampung Bertam Ulu di sini.

Lebih malang isterinya Emut Badun, 49, juga mengalami kanser payu dara sejak beberapa tahun lalu, dan pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

"Kali terakhir dia menggali kubur pada Jun tahun lalu, namun saya sering sesak nafas dan asma menyebabkan tidak lagi mampu memegang cangkul terlalu lama.

"Tenaga yang banyak diperlukan untuk melakukan kerja-kerja berkenaan walaupun kebiasaan dilakukan bersama rakan, Naim Hashim, 51.

"Dalam tempoh 13 tahun berkhidmat, lebih 500 kubur sudah digali untuk ahli kariah dan jenazah," katanya yang pernah menjadi pemandu lori.

Dia yang menyara dua anak yang masih menuntut di tingkatan 5 dan di pusat pengajian tinggi mengakui agak tertekan kerana tiada pendapatan.

"Walaupun tiga anak lagi sudah bekerja dan berkeluarga namun mereka juga mempunyai tanggungan masing-masing," katanya.

Sementara itu Naim Hashim, 51 berkata, dia simpati dengan nasib menimpa rakannya itu yang banyak berkongsi pengalaman dan suka duka sepanjang menjadi penggali kubur.

"Saya simpati melihat Jalul yang sering sesak nafas ketika menggali kubur. Mungkin inilah keputusan terbaik bagi memastikan kesihatannya terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 8:31 PM