Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti konsep 'Hospital Kluster' sebagai pendekatan utama dalam integrasi perkhidmatan hospital awam dan swasta sepanjang tempoh darurat di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital terbabit akan beroperasi untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 mengikut arahan yang akan dikeluarkan oleh KKM.

Beliau berkata, setakat semalam, terdapat 210 hospital swasta di mana 129 daripadanya menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang perubatan dalaman.

"Daripada jumlah itu, 96 hospital swasta bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 mesin ventilator.

"Pendekatan utama dikenal pasti adalah meletakkan hospital awam iaitu hospital-hospital di bawah KKM, hospital universiti awam dan hospital angkatan tentera serta hospital swasta di bawah pengoperasian secara hibrid, berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu," katanya

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Menurutnya, ia selaras dengan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) apabila memutuskan integrasi perkhidmatan hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh darurat.

Katanya, ia bagi memastikan koordinasi yang sistematik selain jaminan akses kesihatan menyeluruh serta bersepadu dapat dilaksanakan untuk pesakit Covid-19 dan juga bukan Covid-19.

"Kerajaan akan mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada terutama di jabatan-jabatan kerajaan dan universiti awam bagi tujuan pengujian dan pengesanan Covid-19 secara berskala besar.

"Di samping itu, bangunan kerajaan yang sesuai akan dikenal pasti di negeri/daerah sebagai pusat pengambilan ujian 'swab' (calitan).

"Mobilisasi aset seperti kenderaan juga akan diselaraskan untuk perkhidmatan kesihatan umum supaya lebih bersepadu dan teratur," katanya.

Menurutnya, sumber perubatan seperti peralatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan ubat-ubatan pula akan dimobilisasikan mengikut keperluan hospital terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum.

Ini katanya, termasuklah memobilisasikan anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 8:36 PM