Kerajaan digesa membentangkan perancangan jangka panjang di Parlimen supaya satu permuafakatan untuk memulihkan ekonomi dapat dirangka. FOTO NSTP
Kerajaan digesa membentangkan perancangan jangka panjang di Parlimen supaya satu permuafakatan untuk memulihkan ekonomi dapat dirangka. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa membentangkan perancangan jangka panjang di Parlimen supaya satu permuafakatan untuk memulihkan ekonomi dapat dirangka.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia bagi membolehkan semua ahli Parlimen diberi peluang memberi cadangan dan meneliti rancangan kerajaan.

Beliau berkata, Mapim meminta kerajaan memanggil sidang Parlimen untuk membuat semakan peruntukan kewangan.

"Hutang luar akan melonjak dengan pertumbuhan terencat, ekonomi negara bakal berdepan resesi yang parah.

"Jika keadaan memerlukan pembentangan bajet semula, kami berpendapat ia harus dibentangkan. Pihak kerajaan perlu mengelakkan penggunaan wang negara yang bukan sahaja tidak bertumpu kepada Covid-19, tetapi berlaku perbelanjaan yang tidak releven dan tidak produktif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, senario rakya tMalaysia menjadi pendatang di negara jiran untuk mencari kerja boleh berlaku jika ekonomi negara terus meleset dan tidak dikendali dengan baik.

Menurutnya, aliran pergerakan buruh untuk mencari kawasan lebih baik akan berlaku jika gaji lebih lumayan ditawarkan di negara jiran.

"Pengumuman pemindahan beberapa syarikat gergasi yang akan keluar dari Malaysia ke negara jiran memberi isyarat yang serius.

"Bermakna pasaran kerja di dalam negara akan menguncup dan pencari pekerjaan termasuk tenaga manusia dalam negara, akan mencuba nasib di luar negara," katanya.

Beliau berkata, selain agensi penting seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, (Miti), Bank Negara, perancang ekonomi perlu segera memberi pandangan supaya kerajaan melakukan langkah tepat untuk mengelak daripada mengalami keadaan lebih parah.

Katanya, apabila pelabur tidak yakin dengan ekonomi dan dasar negara, peralihan pelaburan akan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 9:22 PM