DR ADHAM BABA
DR ADHAM BABA
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Individu yang sudah mengetahui status Talasemia masing-masing diharap dapat berperanan sebagai ejen perubahan dalam mendidik ahli keluarga mengenai kepentingan menjalani ujian saringan selain dapat menjaga keturunan masing-masing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka yang disahkan pembawa Talasemia, dinasihatkanmemilih bakal pasangan hidup dalam kalangan mereka yang bukan pembawa baka atau gen penyakit itu.

"Ia bagi mengurangkan risiko mendapat zuriat yang menghidap Talasemia.

"Jadilah masyarakat yang mempunyai kesedaran kesihatan yang tinggi supaya anda mampu membuat pilihan bermaklumat (informed choice)," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Thalassaemia 'nowyouSEEme' 2021 secara maya, hari ini.

Program kerjasama REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) disertai Timbalan Menteri Pelajaran Muslimin Yahya dan Pengarah Repsol Malaysia, Pablo Ortola Martinez.

Dr Adham berkata, sudah tiba masanya untuk pesakit dan pembawa Talasemia bersikap lebih terbuka dan menyatakan sejarah kesihatan mereka kepada bakal pasangan hidup masing-masing.

Beliau berkata, Talasemia adalah penyakit genetik yang boleh dicegah selain ia bukan penyakit berjangkit.

Beliau berkata, individu yang memiliki baka Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah normal, sehingga ia menjejaskan fungsinya sehingga memerlukan mereka mendapatkan pemindahan darah secara berkala.

Selain itu, katanya, pesakit juga cenderung mendapat komplikasi penyakit dan rawatan jika mereka tidak mematuhi rejim rawatan dan pemantauan pakar.

Dr Adham berkata, memandangkan kos rawatan tinggi, usaha pencegahan penyakit Talasemia mesti dilaksanakan bagi memastikan bilangan pesakit baharu berkurangan.

Pada masa sama, beliau berkata, inisiatif kempen 'nowyouSEEme' itu memberi peluang lebih luas kepada murid dan warga sekolah menengah mengetahui dan memahami penyakit Talasemia.

Katanya, sejak KKM memperkenalkan saringan Talasemia di dalam kalangan pelajar tingkatan 4 di sekolah pada 2016, pihaknya mengesan seramai 31,716 pembawa daripada seramai 689,460 pelajar yang sudah disaring.

"Ini bermakna seramai 464 individu dalam 10,000 pelajar tingkatan 4 yang disaring adalah pembawa Talasemia, bersamaan 5 peratus atau nisbah seorang setiap 20 orang yang disaring.

"Malaysia Thalassaemia Registry melaporkan sehingga 28 November2018, seramai 8,681 pesakit didaftarkan.

"Seramai 7,240 pesakit masih hidup dan sedang menerima rawatan manakala 130 pesakit sudah sembuh dengan rawatan sel stem," katanya.

Terdahulu, Muslimin, ketika berucap, berkata, tahun ini 373,650 enrolmen pelajar Tingkatan 4 akan terbabit dalam saringan Talasemia di sekolah menengah.

Sementara itu, pada sidang media selepas pelancaran, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Dr Don Ismail Mohamed, yang mewakili KKM berkata, pelajar Tingkatan 4 dipilih untuk menjalani ujian saringan Talasemia berikutan mereka tidak mempunyai komitmen peperiksaan besar selain dari segi patologi klinikal, darah individu berusia 16 tahun mempunyai bacaan parameter sama dengan orang dewasa untuk memudahkan ia ditafsir dan dikelaskan.

Katanya, biarpun melalui program awal yang dilaksanakan pada 2008 terhadap ibu hamil atau mereka yang mempunyai sejarah Talasemia, saringan terhadap mereka yang lebih muda lebih berkesan kerana mereka masih remaja dan belum berkahwin manakala saringan sebaik selepas kelahiran pula boleh menyebabkan ada komponen dalam darah tidak dapat dikesan sebelum bayi berusia enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 1:19 PM