ANTARA seragam dan kelengkapan polis yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA seragam dan kelengkapan polis yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Polis berjaya menahan seorang pengawal keselamatan yang menyamar sebagai pegawai berpangkat Asisten Superintendan di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nenas, Pontian, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki tempatan berusia 60 tahun itu ditahan pada 6 petang selepas pihaknya menerima laporan kejadian pada 12.10 tengah hari.

Katanya, suspek berpakaian baju operasi polis dan berjaket didakwa datang ke Pejabat Pertanyaan Balai Polis Iskandar Puteri dan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Balai Polis Sentral, Johor Bahru.

"Dia kemudian mengambil gambar ruang kaunter aduan balai polis dan beredar selepas beberapa minit dengan menaiki Proton Preve berwarna Perak.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan suspek dan merampas antaranya dua ves polis, sepasang baju operasi polis berserta pangkat penolong penguasa.

"Turut dirampas, sepasang uniform 'bush jacket' berserta pangkat penolong penguasa, dua kasut hitam dan topi pegawai kanan polis 'peak cap' bersama beg," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, antara barang lain yang dirampas adalah tali pinggang, beret, topi 'baseball cap' polis dan buku Pol 5, selain sepasang lencana bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga lencana kolar PDRM, lencana integriti polis dan 10 gambar suspek yang berpakaian seragam polis.

Katanya, telefon bimbit dan kereta Proton Preve serta anak kunci yang berdaftar atas nama suspek juga dirampas.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah. Dia direman untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya.

Beliau turut menasihati peniaga yang menjual aksesori polis supaya menyemak identiti pelanggan dengan memastikan mereka benar-benar polis bagi mengelak dibeli oleh orang tidak bertanggungjawab untuk tujuan salah guna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 1:29 PM