FERRARI 430 hangus terbakar di susur keluar Pematang Pauh dekat Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Seberang Jaya. FOTO Ihsan JBPM
FERRARI 430 hangus terbakar di susur keluar Pematang Pauh dekat Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Seberang Jaya. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Sebuah kereta mewah Ferrari 430 hangus terbakar dalam kejadian di susur keluar Permatang Pauh di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila pemandunya yang berusia 30-an sempat menyelamatkan diri.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.08 petang berhubung insiden terbabit.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dengan bantuan BBP Penanti bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

"Sebaik tiba, didapati Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu sudah memadamkan kebakaran terbabit.

"Siasatan mendapati kereta mewah itu musnah 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila pemandunya berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota membuat tindakan 'overhaul' bagi memastikan api padam sepenuhnya sebelum menamatkan operasi pada 2.59 petang.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:10 PM