Orang ramai membuat saringan Covid-19 secara pandu lalu di Hospital Mawar Medical Center. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Orang ramai membuat saringan Covid-19 secara pandu lalu di Hospital Mawar Medical Center. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri berharap dapat melandaikan kes baharu harian Covid-19 di negeri ini di bawah 50 kes menjelang tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 4 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berharap rakyat negeri itu memberikan komitmen tinggi terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, kadar kes baharu harian yang dicatatkan ketika ini masih ditahap membimbangkan iaitu melebihi 100 kes sehari.

"Justeru, masyarakat perlu peka dengan mematuhi sepenuhnya setiap SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita berharap dapat turunkan kes baharu kepada bawah 50 menjelang 4 Februari nanti.

"Memang nampak ada perubahan dari segi pematuhan SOP ketika ini berbanding PKP 1.0 terutama dari segi penggunaan pelitup muka dan penjarakan fizikal, tapi belum mencukupi kerana masih ada yang tidak mematuhinya," katanya.

Beliau mengulas mengenai situasi Covid-19 di negeri itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Negeri di sini, tadi.

Aminuddin berkata, pihaknya akui petugas jabatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dilihat terhimpit dengan beban kerja yang meningkat bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan keadilan kepada semua orang.

"Kita harus menghargai komitmen kakitangan kesihatan serta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai pasukan frontliner.

"Menjadi tugas kita membantu mereka dengan bersikap peka terhadap wabak ini dan mematuhi SOP bagi mengurangkan bilangan pusat kuarantin dan rawatan pesakit," katanya.

Katanya, ketika tiga hospital mengendalikan pesakit COVID-19 iaitu Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban, Hospital Rembau dan Hospital Tampin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:35 PM