MOHAMAD Morshidi ketika sidang media mengenai penangkapan Pati di MASJA II, Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari
MOHAMAD Morshidi ketika sidang media mengenai penangkapan Pati di MASJA II, Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari
Melvin Joni

Kuching: Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang kesemuanya warga Indonesia ditahan dalam Op Jala sejak ia dilancarkan pada 20 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan negeri Datuk Mohamad Morshidi Mustapha berkata, semua Pati terbabit ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan dan premis kopitiam, di sini.

"Sebanyak 22 tapak pembinaan termasuk 14 premis kopitiam diperiksa di sekitar Kuching.

"Seramai 668 penduduk tempatan dan 625 warga asing termasuk Indonesia, Pakistan, India, Filipina, China dan Myanmar diperiksa.

"Daripada jumlah warga asing terbabit, seramai 58 Pati ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ditahan di pusat kuarantin sementara," katanya pada sidang media Op Jala di pejabat Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan negeri, Masja II, Petra Jaya, dekat sini, hari ini.

Mohamad Morshidi merangkap Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, semua Pati terbabit sedang ditahan di Depot Tahanan Imigresen dan hasil ujian pertama Covid-19 mendapati mereka negatif.

"Mereka masih dalam pusat tahanan. Ujian calitan pertama yang dijalankan mendapati semuanya negatif dan kita menunggu untuk membuat ujian calitan kedua.

"Selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari, kesemua Pati itu akan ditahan oleh Jabatan Imigresen," katanya.

Mohamad Morshidi berkata, serbuan Op Jala akan diperluaskan ke kawasan ladang khususnya ladang kelapa sawit di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat selain bahagian lain seperti Sri Aman, Sarikei dan Sibu dalam masa terdekat.

Menurutnya, Op Jala dilancarkan ekoran penularan Covid-19 di Sarawak dan sebahagiannya berpunca daripada Pati dari Indonesia.

Op Jala yang diselaraskan oleh JPBNS turut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan Sarawak dan agensi lain yang berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:30 PM