Mohd Ramli menunjukkan kecederaan yang dialaminya selepas diserang babi hutan yang cedera. FOTO SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mohd Ramli menunjukkan kecederaan yang dialaminya selepas diserang babi hutan yang cedera. FOTO SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Tindakan nekad seorang lelaki menendang seekor babi hutan sehingga terjatuh ke dalam longkang berjaya menyelamatkannya daripada terus diserang haiwan liar itu, Isnin lalu.

Menceritakan kejadian di Kampung Batu 10, Tanjung Piandang, dekat sini, mangsa, Mohd Ramli Putih, 49, berkata dalam kejadian 11 pagi itu, dia menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli sekampit simen di Pekan Tanjung Piandang.

Menurutnya, kira-kira 300 meter sebelum sampai ke rumahnya, secara tiba-tiba seekor babi hutan datang dari sawah padi dan merempuhnya dari arah kanan.

"Berikutan itu, saya terjatuh bersama motosikal dan ketika cuba bangun, sekali lagi babi hutan itu 'merodong' belakang badan saya dan menyebabkan saya terhempas kali kedua di atas jalan.

"Tanpa menghiraukan kesakitan, saya gagahkan diri untuk bangun dan ketika babi itu cuba menyerang sekali lagi, saya beranikan diri menerajangnya sehingga terjatuh ke dalam longkang," katanya.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Buntar, Md Nayan Salleh yang tampil menghulurkan bantuan, hari ini.

Mohd Ramli berkata, babi itu tidak dapat naik dari longkang dan dia berlari ke rumah mengambil sebatang besi dan memukulnya sehingga mati.

Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana bimbang babi itu akan mencederakan orang lain khususnya kanak-kanak atau kaum wanita.

"Selepas haiwan itu mati, saya menghubungi seorang rakan berlainan agama dan menyerahkan babi itu kepadanya.

"Saya perasan ada satu tali di kaki babi itu dan ia dipercayai terkena perangkap dipasang seseorang sehingga cedera lalu naik minyak dan menyerang saya," katanya.

Mohd Ramli yang juga pesawah berkata, kejadian menyebabkan dia cedera di tangan kanan dan belakang badan akibat dirodong haiwan itu.

Menurutnya, dia kini masih trauma dengan kejadian itu dan tidak boleh melakukan kerja berat.

Kejadian menimpa Mohd Ramli turut mendapat perhatian pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menziarahinya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:44 PM