BERNAMA

Georgetown: Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan baru dilahirkannya, dibebaskan dengan jaminan RM90,000, hari ini.

Peguam RSN Rayer ketika dihubungi Bernama berkata, anak guamnya, M Santhiea, 19, dibebaskan dengan jaminan di mahkamah pada 1.45 tengah hari, hari ini.

Sebelum ini, Santhiea ditahan di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Perlis.

Rayer berkata, pada 15 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amirudin Abd Rahman membenarkan permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan jaminan RM90,000 dengan dua orang penjamin serta memerintahkan Santhiea selaku pemohon dalam kes itu untuk melapor diri di Balai Polis Air Itam pada setiap Sabtu.

Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan gadis itu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan pemohon tidak dibenarkan untuk memohon sebarang dokumen perjalanan termasuk pasport dan dokumen perjalanan lain.

Selain itu, tertuduh turut dikehendaki berada di kediaman dari 7 malam hingga 7 pagi dan tidak dibenarkan meninggalkan Pulau Pinang tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 16 Julai 2020, Santhiea dituduh membunuh bayi perempuan baru dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:46 PM