Muhammad Adib Mohd Kassim
Muhammad Adib Mohd Kassim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rayuan bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk mengenepikan prosiding komital yang difailkan terhadapnya akan didengar pada 28 Mei depan.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata, rayuan silang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sama ada Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan mengenai prosiding komital juga akan didengar pada tarikh sama.

Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Koroner Shah Alam atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Thomas atas alasan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadapnya.

Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 67, mendakwa Thomas membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara akibat kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:58 PM