BSN
BSN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 2,000 pelajar kurang berkemampuan menerima inisiatif persiapan persekolahan melalui program 'Jom To School Spectacular' (JTS Spectacular).

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Simpanan Nasional (BSN) ini dijalankan sejak Disember lalu.

Ketua Pegawai Operasi BSN Kameel Abdul Halim berkata, pihaknya sedia maklum dan memahami kekangan dihadapi sesetengah keluarga kurang berkemampuan setiap kali tiba musim persekolahan.

Ia ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Program JTS Spectacular ini yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat datang tepat pada masanya memandangkan pelajar kini memulakan sesi persekolahan secara dalam talian.

"Istimewanya pada tahun ini, fokus BSN adalah menyediakan bantuan cermin mata bagi membantu pelajar daripada keluarga B40," katanya pada kenyataan.

Kameel berkata, bantuan cermin mata ini diharapkan dapat membantu pelajar mengikuti proses pembelajaran dengan lebih baik dan selesa terutamanya apabila perlu berinteraksi menerusi skrin komputer setiap hari.

"Atas dasar itulah, BSN dengan kerjasama sekolah yang terpilih menganjurkan program ini dan kami harap, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka," katanya.

Menurut beliau, 100 hingga 250 pelajar dari setiap negeri dipilih untuk menerima bantuan ini.

"Pelajar terpilih akan menerima pemeriksaan mata dan cermin mata percuma bernilai RM150 daripada pakar optometri yang dilantik oleh BSN serta beg sekolah BSN Care.

"BSN juga akan mendepositkan RM50 ke akaun BSN pelajar ini," katanya.

Maklumat lanjut berkaitan aktiviti serta program BSN Care boleh diperoleh dengan melayari www.bsn.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:48 PM