GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Penularan Covid-19 di tempat kerja menjadi penyumbang tertinggi kluster baharu hari ini, yang merekodkan 15 daripada 17 kluster.

Ketua Pengarah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri yang mencatatkan kluster berkaitan tempat kerja paling banyak adalah Johor iaitu enam kluster membabitkan Kluster Parit Lanjut, Industri Grisek, Jalan Trus, Jalan Medini, Tengah Tiga dan Pengerang Utara.

Menurutnya, ia diikuti Kuala Lumpur membabitkan Kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma, Jalan Danau, Jalan Yahya dan Jalan Pudu.

"Selangor mencatatkan tiga kluster baharu tempat kerja hari ini iaitu Kluster Jalan Mutiara, Tapak Bina Tanjung dan Persiaran Perkilangan.

"Satu kluster berkaitan tempat kerja masing-masing iaitu Kluster Jalan Sulaman di Sabah dan Kluster Jalan Seri di Perak.

"Baki dua kluster baharu adalah kluster komuniti iaitu Kluster Bendayan di Sarawak dan Kluster Jalan Pengkalan di Perak," katanya pada kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, jumlah kes baharu berkaitan kluster tempat kerja itu menyumbang 978 kes daripada 3,680 kes baharu hari ini.

Menurutnya, kes baharu kluster komuniti pula menyumbang 10 kes.

Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Parit Lanjut (521 kes), Kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma (157 kes) dan Kluster Industri Grisek (144 kes).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:51 PM