GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Shah Alam: Pekerja di sebuah pasar raya di Seksyen 15, di sini, didapati tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan Harian Metro di pasar raya terbabit mendapati kebanyakan pekerja warga asing tidak memakai pelitup muka dengan betul dan bersembang sesama sendiri tanpa penjarakan fizikal.

Difahamkan ramai pekerja di pasar raya terbabit sudah dijangkiti Covid-19, namun pengurusan pasar raya didapati mengabaikan SOP yang ditetapkan kepada pekerja.

Bagaimanapun pasar raya terbabit mengehadkan pelanggan hanya seorang dari keluarga yang sama masuk ke premis mereka.

Seorang pekerja yang ditemui berkata, kebanyakan pekerja di bahagian stor adalah warga asing dari Bangladesh.

"Setakat ini tak ada pula diberitahu ramai dijangkiti, tapi memang kami disarankan menggunakan pelitup muka, sarung tangan dan cecair nyah kuman.

"Di bahagian sayur dan makanan memang ada pekerja warga asing," katanya ketika ditemui.

Tinjauan juga mendapati hanya juruwang didapati rakyat tempatan dan mengikut SOP yang ditetapkan.

Lensa jurukamera Harian Metro turut merakam pekerja di pasar raya terbabit yang tidak menggunakan pelitup muka dengan betul.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan pihak pengurusan pasar raya terbabit gagal apabila talian yang dihubungi tidak berjawab.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 10:18 PM