MASING (Gambar fail). FOTO Arkib NSTP
MASING (Gambar fail). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Sempadan Malaysia-Indonesia di selatan Sarawak antara penempatan Teluk Melano di daerah Lundu hingga ke daerah Lubok Antu, yang membentuk hampir satu perempat panjang sempadan dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, kawasan berkenaan serta Biawak yang juga di daerah Lundu dan Serian dianggap kawasan panas kerana terdapat banyak kampung di kedua-dua belah sempadan berdekatan antara satu sama lain, memudahkan aktiviti haram itu berlaku.

"Mereka (penyeludup dan pendatang tanpa izin) hanya perlu berjalan kaki beberapa ratus meter dan menyeberangi sempadan untuk datang ke tempat kami.

"Ini berbahaya kerana mereka mungkin membawa masuk barang seludup dan lebih teruk lagi menyebarkan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mendengar taklimat menyeluruh oleh Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen berhubung isu rentas Sarawak melalui sempadan darat.

Taklimat yang diadakan semasa mesyuarat maya Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak (JKSS) itu turut dihadiri Residen Bahagian dari semua bahagian di Sarawak dan wakil beberapa agensi lain yang berkaitan.

Sebagai pengerusi JKSS, Masing berkata keadaan keselamatan sempadan kini memerlukan usaha pengukuhan langkah-langkah di sana dan kerajaan negeri memberikan keutamaan untuk menyediakan peralatan yang diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pihak berwajib untuk menjalankan tugas mereka.

"Kenderaan peronda seperti motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) serta pacuan empat roda akan disediakan untuk tujuan ini.

"Saya sudah mengesyorkan memasang ConnectMe berkuasa solar (sistem komunikasi berasaskan satelit) di kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui menara telekomunikasi," katanya.

Katanya, sistem ConnectMe sesuai di pos sempadan yang lebih terpencil seperti Tapak Megah, Rantau Pandora di Bahagian Kapit dan Ba'Kelalan di Bahagian Limbang yang menghadapi masalah lebih mendesak bagi kemudahan telekomunikasi asas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 10:53 PM