Beberapa peralatan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rosak dirempuh pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kira-kira 12.10 tengah hari semalam. FOTO IHSAN PDRM SETIU
Beberapa peralatan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rosak dirempuh pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kira-kira 12.10 tengah hari semalam. FOTO IHSAN PDRM SETIU
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Seorang lelaki mendakwa mengalami masalah penglihatan menyebabkan dia melanggar sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Bintang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, hasil soal siasat, lelaki berusia 59 tahun beralamat Kuala Krai, Kelantan itu didapati mempunyai masalah penglihatan dan masih mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu.

"Lelaki itu memberitahu polis, sebelum kejadian, dia menggunakan ubat mata dan sempat berhenti rehat selama 15 minit sebelum memulakan perjalanan dari bandar Permaisuri, Setiu ke Kuala Krai, Kelantan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, lelaki yang memandu pacuan empat roda dari arah Bandar Permaisuri menghala ke Jertih, merempuh SJR di hadapan Sekolah Kebangsaan Bintang di sini.

"Ia menyebabkan tiga kon polis dan satu lampu visi flash rosak. Kejadian berlaku ketika tiga anggota polis dan dua anggota tentera sedang bertugas," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga lelaki itu mempunyai kebenaran untuk merentasi daerah dan negeri atas tujuan perniagaan.

"Tiada apa-apa barang salah dijumpai pada kenderaan dan badan suspek.

"Dia yang bekerja sebagai pegawai pemasaran menjalankan perniagaan membeli dan menjual daging beku yang diambil dari Kuantan untuk dijual di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing negatif serta hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Lelaki itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan / dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 10:09 AM