ANGGOTA polis memeriksa penghantar makanan di SJR sempena PKP 2.0. FOTO Ihsan JSJN.
ANGGOTA polis memeriksa penghantar makanan di SJR sempena PKP 2.0. FOTO Ihsan JSJN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menempatkan anggotanya untuk bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas mengesan taktik pengedar dadah yang menggunakan perkhidmatan penghantar makanan untuk menghantar bekalan barang larangan itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, JSJN memaklumkan mengesan taktik itu digunakan sekali lagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Untuk itu, anggota JSJN bertugas akan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas penghantar makanan bagi mengekang kegiatan itu.

"Perbuatan mereka (pengedar dadah) sekali gus menyusahkan penghantar makanan lain yang sedang berkerja.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi kami melalui aplikasi WhatsApp di talian hotline JSJN 012-2087222 yang beroperasi 24 jam. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, JSJN mendedahkan kebanyakan kes dadah yang dihantar pekerja penghantaran disorok dalam bungkusan barangan lain, termasuk bungkusan makanan serta kotak permainan kanak-kanak.

Dalam kejadian di Gombak, Selangor pada 13 April 2020, seorang pekerja penghantaran yang curiga dengan bungkusan perlu dihantar ke ke Setapak bertindak ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kejadian.

Apabila bungkusan dibuka, ia berisi roti canai bersama beberapa paket ganja dan susulan itu, polis berjaya menahan lima individu termasuk pengirim dan penerima bungkusan dalam serbuan di Setiawangsa dan Bangsar.

Dalam kes berasingan, seorang penghantar makanan ditahan dalam SJR di Depoh KTMB selepas pemeriksaan menemui 121 gram (g) dadah yang dihantar kepada seorang pensyarah lelaki yang memesannya menerusi dalam talian.

Susulan itu polis menahan lelaki warga Portugal dan teman wanitanya yang juga warga tempatan dalam serbuan di Jalan Imbi serta merampas 11.3g syabu, 33g ketamin, 17 biji pil Erimin 5 dan 51g ganja.

Dalam kejadian pada 14 April tahun lalu, seorang pekerja penghantaran yang bertanggungjawab menghantar 10 kotak permainan kanak-kanak ke 10 alamat berbeza ditahan selepas kotak berkenaan mengandungi paket berisi ganja dengan berat keseluruhan 118g.

JSJN juga mengesan kes pengedaran dadah yang klasik, melalui penahanan pemandu e-hailing di SJR Jalan Sungai Besi, Cheras, pada 12 April 2020 dan merampas sepaket syabu seberat 1.68g dalam beg kertas, yang mana dadah itu untuk pelanggan di Taman Salak Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 10:32 AM